Said Sabiq dalam kitabnya "Fiqhus Sunnah", membolehkan daging korban dipindahkan ke negeri lain.
Juga dibolehkan wang dari suatu negara ke negara lain dengan tujuan untuk membeli haiwan korban dan menyembelihkannya di negeri itu.
Said Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mazhab Syafi'e di Mekah, pernah ditanya orang tentang masalah itu dan juga apakah sama hukumnya dengan aqiqah?
Said Al-Bakri dalam kitabnya "I'anatut Thalibin" memuat jawapan terhadap pertanyaan tersebut, jawabnya ialah sah dan boleh berwakil untuk pembelian korban dan aqiqah dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya di luar negeri.
Imam kita (mazhab Syafi'e) berpendapat bahawa orang yang halal sembelihannya boleh berwakil kepada orang lain untuk menyembelih korban. Dan boleh pula berwasiat untuk membeli haiwan dan menyembelih korban. Sedangkan yang empunya korban itu sunat menyaksikan upacara penyembelihan korbannya.
Dalam hal ini hukumnya adalah sama dengan hukum untuk ibadah aqiqah.
Penentuan hukum ini bersandarkan sebuah riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengirim haiwan hadiah (korban) dari Madinah ke Mekah untuk disembelih di Mekah.
Walaupun begitu, tidak boleh seseorang melakukan korban bagi pihak orang lain kecuali dengan izin orang yang bersangkutan itu. Syarat ini tidak termasuk ibadah korban yang dilaksanakan untuk ahli keluarga sendiri.
Maka ayah boleh menyembelih korban untuk anaknya, dan begitu juga sebaliknya, anak boleh menyembelih korban ibu yang menjadi tanggungannya, meskipun yang bersangkutan tidak diberitahu.
Adapun orang yang sudah mati sedangkan pada masa hidupnya ada berwasiat untuk berkorban, maka ahli warisnya hendaklah melaksanakan korban untuknya. Wasiat itu dianggap sebagai izinnya.
MENYEMBELIH KORBAN
Perkara yang disunatkan ketika penyembelihan korban adalah :
1. Bermula dengan "Bismillahir rahmanir rahim". Imam Malik menyatakan bahawa setiap penyembelihan yang tidak bermula dengan "bismillah" hukumnya haram, baik ditinggalkan dengan sengaja atau lupa.
Imam Abu Hanifah pula berpendapat, jika ditinggalkan dengan sengaja, haram, tetapi jika ditinggalkan kerana lupa, halal. Imam Syafi'e berpendapat sunat membacanya. Jika tertinggal baik dengan sengaja atau lupa, hukumnya halal, asal saja penyembelih itu orang yang mengetahui.
2. Takbir tiga kali sesudah membaca bismillah.
3. Selawat dan salam kepada Nabi s.a.w.
4. Mengadap kiblat.
5. Doa supaya korban itu diterima oleh Allah.
6. Mengasah pisau supaya lebih tajam.
7. Menyorong dan menarik serta menekan pisau dengan kuat ke leher haiwan.
8. Membaringkan haiwan itu dengan lambung kirinya ke tanah atau tangan kiri penyembelih sebelah kepala haiwan.
9. Mengikat semua kakinya dengan tali kecuali kaki kanan sebelah belakang.
10. Sembahyang sunat dua rakaat, selepas menyembelih seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Buangkan pisau yang ada di tanganmu, kemudian rukuklah (solatlah) dua rakaat kerana sesungguhnya tiada seorang yang solat dua rakaat (selesai meyembelih) dan memohon sesuatu kepada Allah, melainkan Allah akan memperkenankannya."