Khamis, 13 September 2012

Haiwan Korban


Jenis haiwan yang sah untuk dijadikan haiwan untuk ibadah korban adalah :

1. Kibas, biri-biri atau domba
2. Kambing
3. Lembu, kerbau
4. Unta

Haiwan-haiwan tersebut haruslah jinak, yang terdiri daripada haiwan ternak atau peliharaan. Haiwan liar seperti kambing hutan atau seladang yang hidup di dalam rimba, tidak sah dijadikan korban.

Umur minima bagi haiwan yang boleh dijadikan korban ialah :

1. Kambing, kibas, biri-biri atau domba, lebih satu tahun.
2. Lembu, lebih dua tahun.
3. Unta lebih lima tahun.

Rupa bentuk serta kesihatan haiwan korban telah ditentukan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud :

"Empat perkara yang tidak boleh pada haiwan korban ialah yang nyata benar buta matanya, yang nyata benar sakitnya, yang nyata benar pincang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya" (Riwayat Tarmizi)

Haiwan yang patah tanduknya tetapi tidak sampai mengurangi daging, sah dijadikan korban. Akan tetapi haiwan yang patah tanduknya, tercabut sampai ke pangkalnya sehingga mengurangi daging, tidak sah dijadikan korban. Haiwan yang putus telinga atau putus ekornya, jika masih melekat atau belum terpisah dari asalnya, sah dijadikan korban. Akan tetapi jika terpisah dari badannya, tidak sah dijadikan korban.

Jantina haiwan korban bukan merupakan syarat sah korban. Sah dijadikan korban haiwan jantan, betina ataupun kunsha. Haiwan yang sedang hamil tidak sah dijadikan korban. Akan tetapi haiwan yang dikebiri (dikasi), boleh dikorbankan, kerana hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan lain-lainnya ada menyatakan :

"Bahawa Rasulullah s.a.w. telah berkorban dengan dua ekor kibas yang telah dikebiri."

Manakala dalam riwayat Imam Ahmad pula, Abu Rafi'i berkata :

"Rasulullah s.a.w. berkorban dengan dua ekor kambing yang putih kehitaman dan buah zakarnya telah mengembang sehingga dagingnya lebih baik dan enak. Kemudian beliau meyerukan untuk berlumba-lumba memilih haiwan korban yang terbaik."

KADAR HAIWAN KORBAN

Seekor kambing atau biri-biri merupakan kadar minima ibadah korban yang cukup untuk satu keluarga. Pendapat ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi dan Ibnu Majah dari 'Athaa ibn Yasar, ujarnya :

"Aku telah bertanya kepada Abu Ayub Al-Anshary: Berapakah korban yang tuan-tuan lakukan pada masa Rasulullah? Abu Aiyub menjawab: Ada seorang lelaki pada masa Nabi s.aw. berudhiyah seekor kambing untuk dirinya dan ahli keluarganya. Mereka makan sebahagian daging itu dan sebahagian diberikannya kepada orang lain, hingga manusia telah termengah-mengahan dengan udhiyah itu, dan terjadilah seperti engkau persaksikan sekarang ini."

Seekor lembu atau unta boleh dikongsi 7 orang, kerana menurut hadis Muslim dari Jabir :

"Pada musim haji, Rasulullah s.a.w. telah menyuruh kami berkongsi 7 orang pada seekor unta dan seekor lembu."

Hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Al-Barqani menyatakan :

"Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami: "Berkongsilah kamu dengan seekor unta dan lembu, untuk 7 orang seekor."

Di samping itu, pernah para sahabat berkongsi 10 orang untuk satu unta yang dijadikan korban tanpa dilarang oleh Rasulullah s.a.w.

WAKTU PENYEMBELIHAN

Waktu penyembelihan haiwan korban bermula apabila khatib turun dari atas mimbar selepas khutbah solat Eidul Adha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah.

Maka tempoh menyembelih haiwan korban hanya empat hari dalam setahun iaitu pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah.

Sesiapa yang menyembelih korban sebelum atau sesudah waktu itu, tidak sah korbannya, kerana maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan :

"Yang mula-mula kami perbuat pada hari kami ini (hari raya haji) ialah kami solat kemudian pulang, lalu kami meyembelih. Sesiapa berbuat begitu maka dia sesuai dengan sunah kami. Sebaliknya sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka sesungguhnya itulah daging yang disuguhkan kepada keluarganya tidak sedikitpun termasuk ibadat (korban)."